IPOH | Program sempena bulan kemerdekaan, Sama-sama yang diadakan tahun lepas akan kembali menemui orang ramai pada bulan Ogos dan September ini di Ipoh.
Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Perak, Tan Kar Hing dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Katanya, program Sama-sama 2019 untuk tahun ini berbeza sedikit dari tahun lalu apabila kerajaan negeri bekerjasama dengan Creative Cult Sdn. Bhd., sebuah syarikat swasta bagi membantu mengembangkan industri kreatif tempatan.
Sama-sama 2019 merangkumi bengkel kraftangan, permainan tradisional, persembahan tarian tradisional pelbagai kaum di Perak seperti Belotah, tarian Dabus, tarian Merak, tarian singa dan naga, Barathayanam, persembahan gendang dan persembahan artis tempatan.
Program akan berlangsung pada 17 dan 18 Ogos 2019 di Kinta Riverwalk dimana sebanyak 80 gerai jualan termasuk gerai makanan serta bengkel kreatif disediakan untuk para pengunjung.
Program pada 17 Ogos bermula dari jam 4 petang hingga 12 malam manakala keesokannya bermula dari jam 11 pagi dan berakhir pada jam 6 petang.
Selain itu, program “Sama Sayangi Malaysiaku” akan dijalankan di Jalan Datuk Maharajalela dan Jalan Tun Sambanthan, serta sekitar kawasan Padang Ipoh, lokasi yang sama diadakan pada tahun lepas.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu akan hadir melancarkan program Sama Sayangi Malaysiaku.
Antara agensi kerajaan yang terlibat ialah Tourism Perak, Majlis Kebudayaan Negeri Perak, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan PORT.