Program Di Masjid, Surau Mesti Hormati Sensitiviti Umat Islam

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Sensitiviti umat Islam dan kesucian masjid dan surau mesti dihormati ketika mengadakan acara di tempat ibadat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata JAIPk mengalu-alukan pihak yang ingin mengadakan program yang boleh memupuk perpaduan dan meningkatkan toleransi antara kaum, budaya dan agama.

“Kesucian masjid dan surau mesti dipelihara seperti yang ditetapkan oleh Islam dan budaya Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Surau Al-Qamar di Taman Pengkalan Hulu Utama di sini pada 1 Feb yang turut dihadiri Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari.

Acara yang menyaksikan Wong menyampaikan ucapan dalam sebahagian acara kelihatan tidak bertepatan terutamanya apabila terdapat tarian singa dan pembakaran mercun.

Mohd Yusop berkata aktiviti yang dijalankan jelas telah melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh JAIPk.

Beliau berkata JAIPk telah mengeluarkan peringatan yang menyatakan bahawa surau di negeri ini tidak boleh digunakan sebagai pentas politik dan ahli politik tidak dibenarkan menyampaikan ucapan di sana.

Mohd Yusop berkata selepas mendapat tahu mengenai acara itu, JAIPk mengadakan pertemuan dengan pengerusi jawatankuasa surau pada 31 Jan untuk mengingatkan beliau mengenai garis panduan tersebut.

Beliau berkata satu laporan penuh mengenai insiden itu akan dibentangkan dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak yang akan datang.

“Pengerusi jawatankuasa surau juga telah mengemukakan surat permohonan maaf kepada saya kerana tidak mematuhi nasihat JAIPk,” katanya.