IPOH, 5 Okt — Program Jelajah Pendidikan yang dilaksanakan sejak 2005 memberi peluang mendekati masyarakat di seluruh negara dengan berkongsi kejayaan serta memperoleh pandangan dan respons terhadap usaha Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti.
Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata program itu bertujuan menyebarkan maklumat, menyampaikan ‘touch point’ yang relevan kepada masyarakat dan juga sebagai platform memberi serta mendapatkan maklum balas secara langsung kepada masyarakat berkaitan perkhidmatan KPM.
Beliau berkata, KPM yakin penyampaian perkhidmatan kerajaan secara bersemuka tetap sesuai dan penting bagi pelanggan memahami lebih lanjut proses sesuatu layanan dilaksanakan walaupun negara kini menuju ke era digital.
Tentunya, program turun padang seperti ini memerlukan kerjasama yang erat dan berkesan daripada pelbagai pihak, jika tidak, proses penataran dan penyebaran maklumat tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan, katanya.
Mohd Ghazali berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Jelajah Pendidikan KPM 2019 peringkat negeri Perak di Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini, hari ini.
Perak dipilih sebagai lokasi pertama siri jelajah pada tahun ini, dan selepas ini tiga lagi lokasi akan diadakan iaitu Kemaman, di Terengganu; Kuching, Sarawak; dan Batu Pahat, Johor.
Program Jelajah Pendidikan KPM pada kali ini melibatkan lebih banyak jabatan serta agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Pusat Sains Negara, dan Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE).
— BERNAMA