PETALING JAYA | Bekas menteri sumber manusia, M Kula Segaran mengatakan prosedur baru yang ditetapkan oleh kerajaan untuk pengambilan pekerja asing adalah “kesilapan besar”.
Ahli parlimen Ipoh Barat itu berkata ia tidak perlu dan tidak mendorong pelaburan langsung asing (FDI), menurut laporan portal FMT.
Beliau mengatakan bahawa syarat baru untuk mengambil pekerja asing itu akan menghalang syarikat multinasional daripada menubuhkan operasi di sini, yang seterusnya akan memperlahankan peluang pekerjaan tempatan.
“Proses baru yang diumumkan oleh kementerian sumber manusia bukan hanya tidak perlu tetapi akan membebankan perniagaan yang sudah ada di Malaysia dan menghalang mereka yang berhasrat untuk datang ke sini,” katanya dalam satu kenyataan.
Komen Kula itu hadir sebagai respon kepada pernyataan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia M Saravanan pada hari Isnin bahawa majikan yang ingin mengambil pekerja asing melalui program rehiring dan memohon pengambilan pekerja asing harus terlebih dahulu mengiklankan kekosongan di portal pekerjaan nasional MYFutureJobs, berkuat kuasa November 1.
Calon juga akan ditemuramah oleh wakil majikan dan agensi kementerian sumber manusia, iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pekerja asing atau ekspatriat hanya akan dipertimbangkan sekiranya tidak ada rakyat Malaysia yang berminat untuk memohon jawatan tersebut.
Kula mempersoalkan mengapa keputusan itu dibuat tanpa terlebih dahulu berunding dengan pihak berkepentingan seperti majikan dan kumpulan pekerja, dewan perdagangan dan perniagaan.
Beliau juga berkata prosedur yang meminta pegawai Perkeso untuk menghadiri setiap wawancara ekspatriat adalah “bodoh,” kerana ia adalah pencerobohan privasi terhadap proses pengambilan pekerja oleh pihak syarikat.
“Langkah itu akan bertentangan dengan matlamat untuk meletakkan negara sebagai mesra perniagaan dan hab rantaian bekalan kerana akan mendorong negara-negara untuk tidak berniaga di sini, “katanya.
Beliau menggesa kerajaan Perikatan Nasional untuk mempertimbangkan semula kesilapan besar ini.