IPOH: Putrade Allsuites bermula asalnya dalam perniagaan katering di sekitar ibu negara, Kuala Lumpur namun setelah berkembang maju ia bergerak ke hadapan dalam bidang pengurusan perhotelan.
Ipoh, Perak menjadi tapak pertama Putrade Property Management Sdn Bhd apabila ia diberi kepercayaan untuk mengambil alih sepenuhnya Suite apartmen yang dimiliki Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC) bermula Mei lalu.
Hari ini berlangsung satu majlis pelancaran pembukaan sepenuhnya Putrade Allsuites selepas dua tahun pembinaannya yang telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Kamar Ahmad.
Menurut Shamsul, Putrade Allsuites di RPGC menawarkan 36 unit suite apartmen dengan berkonsepkan pengurusan terbuka kepada pelanggannya termasuk warga Ipoh.
Katanya, pembukaan Putrade Allsuites at RPGC di Jalan Sultan Azlan Shah ini adalah yang pertama di Malaysia dan pemilihan Ipoh adalah bertepatan memandangkan kedudukan strategik berhampiran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) serta akses kemudahan eksklusif yang terdapat di Kelab Golf Diraja Perak.
“Sepanjang tempoh penginapan, mereka yang menjadi tetamu hotel ini secara otomatik boleh menggunakan segala kemudahan yang terdapat di Kelab Golf Diraja Perak termasuklah 18 hole championship golf course, driving range, gelanggang tenis, kolam renang dan gimnasium.
“Kemudahan ini pada asalnya hanya dibuka kepada ahli kelab sahaja, namun dengan konsep yang kita perkenalkan, orang awam juga boleh menikmati pengalaman sama seperti ahli sedia ada,” katanya kepada pemberita sempena pembukaan Putrade Allsuites at RPGC, Ipoh pada Rabu.
Putrade Allsuites at RPGC menawarkan tiga jenis bilik iaitu dua unit apartment tiga bilik dengan keluasan 1,208 kaki persegi; apartment dua bilik (14 unit) dan apartment satu bilik (20 unit) pada harga antara RM390 hingga RM590. Dengan gabungan dekorasi berciri klasik dan moden, ia pasti dapat menambat hati pengunjung yang mahu beristirehat sambil bermain golf di sini.
Setiap unit dilengkapi dengan segala kemudahan termasuklah jaringan internet tanpa had, peti keselamatan elektronik, sistem kad berkunci, penghawa dingin, mini bar serta perkhidmatan makan dalam suite.
Kemudahan lain seperti pengambilan dan penghantaran ke lapangan terbang, dobi serta kawalan keselamatan 24 jam turut disediakan. Shamsul Kamar berkata, pakej lain disediakan adalah penginapan untuk seminar melibatkan syarikat swasta, korporat dan jabatan kerajaan dengan kemudahan bilik latihan dan dewan yang boleh menampung 700 orang.
“Sasaran kita nanti pastilah dalam kalangan penggemar sukan golf tempatan, namun dengan fasiliti terkini ini, Putrade Allsuites at RPGC mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat di Perak,” katanya.
Selain suite hotel dan apartment, Putrade Allsuites juga menawarkan pengunjung dalam dan luar untuk menikmati hidangan di in-house restaurant iaitu Fairway Restaurant. Ini bermakna, pelanggan tidak perlu menjadi tetamu yang menginap di apartment untuk menikmati pelbagai jenis makanan di sini. Pengunjung dari luar juga boleh menikmati hidangan dengan kadar harga yang amat berpatutan.
Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi talian 05-2380022 atau ejen atas talian seperti Agoda, Expedia dan Traveloka.