Rakyat Adalah Tuan Sebenar

Reading Time: < 1 minute

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu rakaman webcam yang dimuat naik di akaun Twitter beliau pagi ini (29 Feb) mengeluarkan kenyataan bahawa krisis politik yang melanda negara hari ini adalah berkait dengan soal identiti dan integriti, bukan lagi soal parti atau majoriti.

Beliau yang juga ahli parlimen Muar sedar ramai ahli politik yang lain akan tidak bersetuju dengan pandangan beliau tapi baginya apa yang lebih penting ialah rakyat lebih berhak mendapat sebuah negara yang lebih baik, bebas rasuah, dihormati dan bermaruah.

Katanya, beliau menceburi politik pada ketika negara sedang dihina, dikeji dan dimalukan di mata dunia kerana perlakuan rasuah pemimpin.

Kini, rakyat tertanya-tanya, berasa marah dan gelisah dimanakah letaknya akhlak, maruah dan prinsip ahli-ahli politik di Malaysia dalam kemelut terbaru ini.

Beliau dalam rakaman itu juga menegaskan bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan mereka yang terlibat dengan rasuah.

“Saya ingin tegaskan satu perkara, saya tak akan sesekali bekerjasama dengan golongan perasuah, jauh sekali bersetuju untuk mendirikan kerajaan bersama dengan mereka.

“Ini bukan soal parti atau majoriti … ini adalah soal identiti dan integriti,” tegasnya.

Beliau mengakhiri rakaman dengan berkata, “rakyat adalah tuan sebenar negara ini … biar mati bermaruah jangan hidup dijajah.”