Ramalanku Benar Belaka

Reading Time: 3 minutes

‘Wedding of the Year’ sememangnya patut diberi kepada Pas dan UMNO kerana ia disaksikan beribu orang yang hadir dengan semangat berkobar-kobar tentang sebuah Muafakat Nasional.

Hasil piagam yang sebelumnya diikuti dengan Perpaduan Umah, Penyatuan Umah dan Perhimpunan Bela Islam akhirnya tenggelam dengan sifatnya yang nasional. Hanya laungan Takbir mengiringi lagu UMNO.

Kelihatannya UMNO mendominasi keadaan seolah Pas hanya sebagai tetamu terhormat UMNO untuk meramaikan majlis. Apakah Pas tidak terfikir untuk mencadangkan agar majlis itu di tempat yang lebih neutral sesuai dengan nama Muafakat Nasional dan sesuai dengan majlis gabungan dua parti Melayu terbesar?

Butiran meterai “piagam” itu pula tidak segah nama Muafakat Nasional kerana ia hanyalah memperbaharui tekad kepada persetujuan semua kita tentang Islam, Melayu, kepelbagaian dan institusi raja. Malah sebahagian besar yang dibutirkan dalam piagam berkenaan adalah cerminan kepada kegagalan UMNO untuk memeliharanya dengan beramanah sebelum ini.

UMNO gagal menjaga kepentingan Melayu dengan salah guna kuasa dalam skandal Tabung Haji, Felda, MARA. Semua ini adalah institusi orang Melayu, Islam. Apakah UMNO telah insaf atau hanya gimik memancing dengan memukau Pas? Nampaknya dah beberapa kali Pas jatuh ke lubang biawak. Malah, kini memikul ‘biawak hidup’ seperti kata Datuk Seri Abdul Hadi satu ketika dahulu.

UMNO tidak memelihara pembangunan inklusif dengan berlakunya skandal kleptokrasi terbesar dunia yang menjejaskan kepentingan fiskal negara. Hampir kesemua pimpinan tertinggi UMNO dalam senarai pendakwaan atas tuduhan salah guna kuasa. Nampak jelas bahawa bebanan piagam ini adalah ke atas pengikut dan ahli Pas, tetapi tidak kepada ahli UMNO yang mendapat sudut kelebihan dengan piagam ini.

Membela Islam bagi Pas pula tersudut kepada aspek melaksanakan hudud dan menghukum mereka yang tidak sehaluan dengan dasar Islam mereka melalui Amanat Haji Hadi termasuk UMNO dikatakan mempertahankan perlembagaan Taghut!

Bagaimana Islam nak terbela bersama Pas jika Pas mendakwa hanya Pas sahaja mewakili Islam dan ‘mengkafirkan’ orang lain dan ‘mengharbikan’ orang kafir. DAP yang mendapat sokongan pengundi Cina dilabel anti-Islam, kini dalam piagam berkenaan, Pas bersetuju untuk memelihara kepelbagaian kaum dan agama?

Apa yang Muafakatnya jikalau formula UMNO-Pas ini hanya akan menjejaskan kepentingan Nasional apabila parti Melayu UMNO yang gagal memelihara kepentingan nasional dan berselimut di balik retorik Melayu manakala Pas yang membawa label Islam yang kasar dan keras tidak mungkin memahami erti kepelbagaian.

Piagam ini adalah formula yang tepat kepada potensi ‘jerebu’ yang mudaratnya lebih teruk daripada jerebu hakiki. Malaysia baru sahaja menikmati udara segar dengan angin perubahan yang mendambakan kemakmuran bersama. Itulah Muafakat Nasional yang sebenarnya.

Dalam artikel yang saya tulis semasa membuat analisa pra-piagam, saya telah menyebut perkataan Permuafakatan Nasional dengan munculnya era Malaysia Baru yang mendorong lahirnya kerajaan yang diamanahkan kepada Pakatan Harapan (PH).

Malaysia hanya memerlukan satu sahaja Muafakat Nasional yang disepakati rakyat. Bukan Muafakat Nasional syok sendiri yang direka oleh gabungan ini. Muafakat Nasional adalah rumusan kepada agenda baru, cara berfikir baru dan strategi baru hasil kekecewaan rakyat kepada regim sebelumnya. Bukankah UMNO dan Pas sasaran kekecewaan ini sehingga lahir Harapan Baru untuk Malaysia?

Seperti mana-mana wedding of the year, kehebatannya adalah kepada gaya persembahannya dan tumpuan orang ramai kepadanya. Ramai penganalisa berpendapat, ia taktik survival dan berpiagam dengan Pas selalunya sukar untuk bertahan kerana fatwanya berubah-ubah. Dari tahaluf ke ta’awun dan kini piagam. Entah esok apa pula.

Sebaiknya untuk UMNO ialah, mereka mengambil masa bertafakur, mencari sebab mengapa rakyat menolaknya dan jujur pada dirinya untuk membetuli kesilapan lampau.

Saya tidak mahu campur tangan urusan Pas kerana Pas sukar diramal, hanya kadar kepantasan perubahan ‘fatwa’nya sahaja yang menjadi tali hayat UMNO dalam piagam ini.

Rekod Pas dalam tahaluf siyasi dengan Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) tidak berapa baik dalam memenuhi erti persahabatan politik. Mungkin Pas akan memperbaiki rekodnya dalam konsep ta’awun dengan UMNO.

Dalam melihat piagam yang termeterai semalam, teringat saya serangkap lirik lagu Ramalan ku Benar Belaka oleh Umbrella

Kau memilih diriku

Diatas dasar apa

Apakah kerna cinta

Atau pelepas sepi Cuma…

Kita tunggu….


Mujahid Yusuf Rawa adalah Naib Presiden Parti Amanah Negara merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar. Tulisan adalah pandangan peribadi beliua dan tidak semestinya mewakili pandangan rasmi Independent.