Ke Arah Kristiankan Sejarah Malaysia?

Reading Time: 2 minutes

ULASAN | Sebelum ini saya ingat saranan Dr Tajuddin Rasdi pada forum anjuran Dong Zong di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor pada 5 Ogos 2019 supaya mata pelajaran sejarah distruktur semula dengan memasukkan sejarah Kristian, dari mana mereka datang dan apa sumbangan mereka kepada negara, hanyalah pandangan beliau sendirian sahaja.

Malangnya, terkejut besar saya bila mendengar cadangan sama, yang jauh lebih drastik dan terperinci, turut dibuat oleh sejarawan dari New Era College University bernama Dr Lee Kam Hing dalam forum bertajuk “Naratif Malaysia Baharu” (“New Malaysia Narrative”) di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor, pada 14 September 2019.

Mengikut Dr Lee Kam Hing, buku teks sejarah yang diguna pakai di sekolah dan di universiti sekarang perlu diubah kerana:
(1) Ia mengandungi tema utama perpaduan Melayu, nasionalisme Melayu, Islam dan Malaysia sebagai negara asal orang Melayu.
(2) Teras utama tema ini adalah dakwaan ketuanan Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.
(3) Naratif sekarang berkisar di sebalik peranan Perikatan-BN sebagai pejuang yang memerdekakan negara dan Umno sebagai pelindung orang Melayu.
(4) Ia terlalu mengutamakan Islam di mana 5 daripada 10 bab dalam buku teks Sejarah Dunia Tingkatan 4 didakwa menyentuh mengenai sejarah Islam dan hanya 3 daripadanya yang menyentuh mengenai sejarah dunia.
(5) Sebahagian daripada tenaga penting yang mencorakkan sejarah masa lalu dan sejarah sekarang telah ditiadakan, diubahsuai atau ditukar bagi menjadikannya selari dengan sejarah kedominanan Melayu Islam, di mana naratif sekarang memberikan terlalu sedikit perhatian kepada kehadiran dan peranan bukan Melayu.

Mengikut Dr Lee Kam Hing, satu perkara yang sangat perlu dimasukkan dalam buku teks sejarah yang diguna pakai di sekolah dan di universiti sekarang adalah sejarah Kristian kerana:
(1) Kehadiran Kristian adalah satu bahagian penting daripada sejarah negara, khususnya sejarah Bumiputera Kristian.
(2) Orang Kristian telah berada di Melaka sejak dari abad ke-15 sebelum kedatangan Portugis lagi.
(3) Orang Melayu telah lama menerima Kristian di mana Munsyi Abdullah adalah dianggap umum sebagai bapa kepada Melayu Kristian moden.
(4) Misi Kristian menyumbang kepada pengetahuan dan penyebarannya melalui mesin percetakan di mana:
(a) Kristian, melalui London Business Society, menerbitkan jurnal Melayu pertama.
(b) Kristian, melalui Mission Publishing House, mencetak buku Melayu pertama.
(c) Kristian, melalui Anglo-Chinese College di Melaka pada tahun 1850, menubuhkan kolej pengajian pertama.
(5) Orang Kristian adalah sarjana peradaban Melayu.

Lebih menarik, pemberi ucapan utama dan pemberi ucapan penutup kepada forum “Naratif Malaysia Baharu” di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor, ini adalah dua pemimpin kerajaan dari DAP, iaitu Steven Sim Chee Keong yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Michelle Ng Mei Sze yang merupakan ADUN Subang Jaya.

Lebih menarik lagi, dalam forum yang, mengikut Steven Sim, dihadiri oleh ‘semua Cina kecuali Dr Tajuddin Rasdi’, ini Steven Sim, yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, bercakap panjang lebar mengenai betapa indahnya ‘the Kingdom of God’ dan mengenai betapa ‘the Kingdom of God’ adalah satu misi yang tidak dapat dihalang.

Dalam forum ini juga, Steven Sim malah turut melancarkan sebuah buku bertajuk “Bila Kamu Berkuasa Untuk Bertindak” (“When It Is In Your Power To Act”) yang kata pengantarnya ditulis oleh beliau sendiri dan yang kandungannya, mengikut Steven Sim, merekod dan mengumpulkan secara ‘chronicle’ kerja-kerja Kristian Malaysia di negara ini.

Apakah agaknya kesimpulan yang boleh dibuat dari semua fakta yang dinyatakan ini?

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF


Tulisan ini tersiar di laman Harakahdaily. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan rasmi Independent