Rujuk Senarai Hospital, Elak Pemalsuan Saringan – KP Kesihatan

Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) – Masyarakat diminta merujuk senarai semua hospital dan klinik saringan COVID-19 swasta yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelakkan kekeliruan serta penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini, terdapat lebih 50 hospital dan klinik swasta seluruh negara yang diluluskan KKM untuk menjalankan saringan wabak itu.

“Kita ada senarai semua hospital dan klinik rawatan serta saringan COVID-19. Orang ramai diminta rujuk pada portal CPRC (pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan) KKM,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini.

Dr Noor Hisham turut menyeru masyarakat segera melaporkan kepada pihak berkuasa dan KKM sekiranya mengetahui berlaku kegiatan penipuan dan pemalsuan dokumen saringan COVID-19. 

Tegasnya, ia adalah satu kesalahan dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Semalam dilaporkan bahawa lima lelaki Bangladesh ditahan selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen keputusan negatif saringan COVID-19 bagi warga asing dalam serbuan di Jalan Tengkat Tong Shin, Kuala Lumpur pada 9 Jun lalu.

Mengenai kes tukang gunting rambut warga Pakistan yang disahkan positif COVID-19 semalam, Dr Noor Hisham berkata setakat ini, kes itu belum diklasifikasi sebagai kluster memandang hanya seorang yang disahkan positif.

Beliau berkata tindakan sewajarnya telah diambil dengan menjalankan saringan kepada kontak rapat dan mereka yang telah mendapatkan khidmat gunting rambut daripada tukang gunting rambut berkenaan.

“Kes yang positif (tukang gunting rambut) telahpun kita asingkan dan masukkan ke hospital manakala kes yang dikenal pasti kontak rapat, kita arahkan untuk kuarantin di rumah. Jadi tindakan telah diambil dan siasatan telah dijalankan,” katanya.

Ditanya mengenai insiden sebuah pasar borong Xinfadi di Beijing terpaksa ditutup hari ini selepas 45 peniaga dikesan positif dan virus itu dikesan pada papan pemotong yang digunakan penjual ikan salmon, Dr Noor Hisham berkata isu kebersihan harus dipandang serius. 

“Kalau guna papan pemotong yang tidak bersih, ada kemungkinan jangkitan akan berlaku. Kita perlu mengingatkan semua orang supaya jaga kebersihan. 

“Virus COVID-19 telah mengajar kita untuk menjaga kebersihan diri dan sekarang ini, kita mengharapkan rakyat mengamalkan kebersihan dan langkah pencegahan,” katanya. 

Beliau berkata virus itu masih ada dalam komuniti walaupun sudah ada sinar cahaya yang seolah-olah berjaya (mengekang penularan),  justeru itu, penting bagi rakyat mengambil pendekatan serius dalam menjaga kebersihan diri dan amalan normal baharu.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata tiada peningkatan kes positif COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan KKM sehingga hari ini. 

Seramai 416 petugas kesihatan KKM dikesan positif namun 80 peratus mendapat jangkitan itu di luar hospital sama ada dalam komuniti atau rakan sejawat, katanya.