TAPAH | Seramai 21 pembeli rumah teres dua tingkat Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman Sri Asoka Fasa 4 di sini mengadakan perhimpunan aman untuk menyatakan bantahan dan kekecewaan terhadap pemaju yang tidak bertanggungjawab bertindak melarikan diri dari menyiapkan projek perumahan tersebut dalam tempoh yang dijanjikan.
Kecewa dengan sikap pemaju itu, mereka meminta jasa baik YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Adun Chenderiang campurtangan bagi menangani masalah ini dan membantu menangani bebanan hidup yang mereka tanggung akibat kegagalan pihak pemaju dalam melaksanakan projek yang mereka sifatkan sebagai projek sakit itu.
Menurut Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Taman Sri Asoka, Raja Ibrahim Putera Raja Mustapha, lebih menyedihkan beliau bersama rakan pembeli lain mengakui terbeban dengan potongan gaji yang telah dilaksanakan biarpun mereka cuba untuk mendapatkan pengurangan pembayaran tetapi akhirnya ditolak kerana langkah itu tiada dalam dasar Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
Katanya, dia mula mendapat surat tawaran pada bulan Jun 2016 dan projek perumahan itu dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun iaitu Jun 2018.
“Kelebihan projek PPAM ialah ia mendapat rebat sebanyak RM50,000 dan kita yakin dengan projek ini kerana mendapat sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika itu.
“Namun, selepas dua tahun, projek ini masih belum siap dan saya boleh bercakap dengan penuh yakin bahawa tiada pembangunan dilakukan di sini sejak bulan Ogos tahun lalu,’’ katanya kepada pemberita pada perhimpunan aman di tapak pembinaan projek perumahan tersebut pada Selasa.
Menurut Raja Ibrahim lagi, para pembeli menerusi persatuan yang mereka tubuhkan, cuba mendekati KPKT bagi menyelesaikan permasalahan itu namun, LPPSA tidak boleh berbuat apa-apa kerana potongan gaji mesti dilakukan selepas tempoh dua tahun, tidak kira sama ada projek perumahan itu telah pun selesai atau tidak.
Katanya, ada antara mereka yang telah dikenakan potongan gaji seawal bulan Jun tahun lalu dengan anggaran sekitar RM1,000 ke RM1,500 sebulan.
“Dari tahun lepas, kami memang ada cuba menghubungi pihak pemaju tetapi kebiasaannya, dua perkara berlaku iaitu nombor tidak dapat dihubungi dan keduanya, orang yang menjawab panggilan itu tidak memahami bahasa yang kami sampaikan sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
“Kami telah menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara untuk menyelesaikan masalah ini dan selepas itu baru pemaju datang dalam satu mesyuarat pada dua minggu lepas,”katanya.
Seorang lagi pembeli, Faizul Ruzi Mohd Fadzir, 36, dan isterinya Haryati Mahmoh, 33, dari Jasin, Melaka, berharap rumah pertama mereka itu dapat disiapkan dengan segera.
“Kami sekarang menyewa dan dipotong gaji lagi untuk pembayaran rumah ini sebanyak RM1,000 dari September tahun lepas. Kalau rumah penjawat awam kerajaan sendiri tidak tolong, siapa lagi hendak tolong kami.
“Kami sebagai pembeli merasa tersepit kerana tidak tahu hendak buat macam mana. Sepatutnya, biarlah projek PPAM ini dibuat oleh pemaju yang ada kredibiliti,’’ katanya.