Setelah menyaksikan video Jamal Yunus berdurasi 7 minit lebih yang dirakam dari sebuah ladang kelapa sawit yang tidak diketahui lokasinya, saya rasa tertarik untuk mengajak masyarakat berfikir sejenak bahawa betapa indah dan pentingnya erti memiliki kebebasan.
Kenyataan Jamal Yunus di dalam video tersebut jelas membayangkan betapa takutnya dia mahu berdepan dengan undang-undang negara. Mungkin sudah terbayang dalam fikirannya betapa dia bakal menginap di dalam sebuah bilik kecil dan gelap, tidak diketahui berapa lama tempoh dia perlu berada di sana. Dia mungkin membayangkan betapa keluarganya akan ditinggalkan, anak-anaknya tidak dapat lagi melihat dia berada di sisi, kawan-kawannya bakal lari meninggalkannya dan tiada lagi kebebasan bergerak ke sana ke mari di dalam negara sendiri.
Kenyataan dia tidak dapat menunaikan terawih sejak Ramadan pertama memberi isyarat yang jelas bahawa dia sudah tidak dapat menikmati kenikmatan bulan Ramadan yang mulia ini, dan sudah tentu dia sudah terfikir bahawa Aidilfitri kali ini, dia bakal sambut di sebalik tirai besi bersama kawan-² baru yang bakal menyambutnya dalam keadaan berbeza.
Pada ketika inilah dia sudah mula sedar betapa bagaimana pahit rasanya Anwar Ibrahim yang pernah diperlakukan sedemikian rupa, dan kali ini giliran dia pula merasainya. Adakah ini suatu bentuk kifarat yang cuba dipertontonkan oleh Yang Maha Bijaksana? Adakah ini suatu peringatan kepada semua yang pernah melakukan dosa bahawa ini baru hukuman di dunia, bagaimana pula hukuman yang menanti di akhirat kelak?
Oleh itu, wahai saudaraku sekalian, hargailah nilai kebebasan yang dianugerahkan selagi ia masih dalam genggaman. Kita selalunya tidak tahu apa yang kita miliki sehingga ia terlepas dari cengkaman kita.
~ Dee