IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menekankan pentingnya badan-badan dan syarikat-syarikat yang diwujudkan di bawah agensi kerajaan negeri melakukan penilaian risiko yang teliti sebelum melibatkan diri dalam projek-projek baharu.
Baginda bertitah, kesilapan melakukan pelaburan dalam urus niaga yang kurang berdaya maju yang pernah terjadi sebelum ini sehingga meninggalkan tanggungan berat kewangan kepada negeri akan dijadikan pengajaran untuk menghindarkan pisang berbuah berulang kali.
Baginda juga menegaskan, empat kebimbangan utama dalam kalangan warga dunia ialah tadbir urus yang telus, pengangguran, ketidaksamaan social dan kemiskinan.
“Keyakinan rakyat terhadap sesebuah kerajaan bergantung pada keupayaannya menangani kebimbangan-kebimbangan tersebut melalui kebijaksanaan kepimpinan yang berupaya melaksanakan program-program secara realistik yang manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh rakyat,’’ titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada pembukaan rasmi penggal kedua Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Baginda bertitah, dalam menyusun langkah mengutuhkan tadbir urus negeri, kerajaan Perak akan menerima pakai Pelan Anti Rasuah Nasional.
“Gejala rasuah wajib diperangi secara tegas kerana rasuah membebankan rakyat, rasuah terbukti telah meruntuhkan banyak negara dan tamadun.
“Sesungguhnya para pemimpin yang berada di barisan paling utama untuk mempamerkan sebaik contoh dan membuktikan kesungguhan untuk memerangi rasuah.
“Tadbir urus yang bersih, cekap, amanah, lagi telus adalah penting untuk menyakinkan rakyat,’’ titah Baginda.
Sultan Nazrin bertitah, pengagihan sumber kekayaan negara secara adil lagi saksama akan membolehkan rakyat hidup sejahtera.
Justeru menurut Baginda, pelbagai program berpaksikan rakyat untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terus diusahakan.
“Perumahan serta kemudahan-kemudahan kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan kebajikan diberikan perhatian.
“Meringankan kos sara hidup rakyat merupakan cabaran yang disedari yang perlu ditangani,’’ titah Sultan Nazrin.
Dalam titah ucapannya baginda turut menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap peneroka tanah haram.
“Sikap berlembut, sikap bertolak ansur akan memberikan mesej yang salah dan bakal menggalakkan berlaku lebih banyak penerokaan tanah secara haram,’’ titah baginda.
Menurut Sultan Nazrin, pembangunan bukan lesen menghalalkan perbuatan memusnahkan alam.
“Pembangunan yang tidak dirancang secara seimbang dan pembangunan yang dilaksanakan tanpa kelulusan laporan EIA khususnya di kawasan tanah tinggi akan merosakkan alam sekitar.
Baginda juga menarik perhatian ahli Dewan dalam titah ucapannya susulan pengumuman Menteri Kewangan Persekutuan, mengisytiharkan Pulau Pangkor diberi status pulau bebas cukai.
“Kerajaan Beta telah mengemukakan permohonan untuk menetapkan tarikh pewartaan pada 1 Januari 2020,’’ titah baginda.
Menurut baginda, pelbagai gerak kerja untuk merealisasikan status ini sedang dirintis.
“Usaha-usaha untuk membantu penduduk tempatan agar mendapat limpahan manfaat hendaklah dijadikan salah satu agenda pembangunan Pulau Pangkor demi memastikan penduduk di pulau tersebut tidak bernasib Lebai Malang, menang sorak –kampung tergadai, tertinggal sebagai penonton yang pasif, berputih mata melihat dagang lalu ditanak-sedangkan anak diriba mati tak makan’’ titah baginda.
Terdahulu, Baginda yang berangkat ke istiadat itu bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim telah melakukan pemeriksaan Kawalan Kehormatan terdiri daripada pegawai dan anggota Batalion 1, Pasukan Gerakan Am, Bridged Utara, Ulu Kinta.
Turut hadir di istiadat itu, Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.