BATU GAJAH: Harapan 44 pembeli Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Batu Gajah di sini untuk memiliki dan mendiami rumah pertama sendiri tidak kesampaian apabila projek perumahan yang dijanjikan terbengkalai dan menjadi `padang ragut lembu’.
Mereka sudahpun menandatangani perjanjian jual beli pada tahun lalu dan mengeluarkan perbelanjaan termasuk 10 peratus wang pendahuluan dan kos guaman namun kecewa pemaju gagal melaksanakan pembinaannya sampai ke hari ini.
Menurut mereka, projek membabitkan 445 unit rumah mampu milik itu dijadualkan bermula 3 Januari 2017, namun hanya tinggal tapak projek tanpa sebarang kerja pembinaan.
“Hasrat saya ingin memiliki dan mendiami rumah pertama sendiri nampaknya tidak kesampaian … saya merasa amat sedih dan kecewa apabila melihat tapak projek sudah menjadi padang ragut lembu,’’ kata seorang pembeli, Mohd Syamil Saari, 32, kepada Independent.my sewaktu ditemui bersama pembeli lain di tapak projek berkenaan pada Sabtu.
Memandangkan projek tersebut membabitkan kakitangan awam, Syamil meminta Menteri Besar Perak, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu campur tangan segera bagi menyelesaikan kemelut itu.
“Saya memohon jasa baik YAB Menteri Besar agar dapat segera membantu menyelesaikan permasalahan besar yang sedang saya serta rakan pembeli lain hadapi ketika ini,’’ kata Syamil lagi.
Menurut Syamil, beliau bersama rakan pembeli yang lain menyedari keadaan itu sejak September tahun lalu apabila mendapati projek berkenaan tiada perkembangan sebelum bertanyakan kepada pemaju.
“Kami sebagai pembeli difahamkan projek ini sudah diambil alih pemaju baharu dan pada Oktober lalu kami menerima e-mel daripada pemaju berkenaan mengatakan harga rumah itu sudah meningkat dan pembeli perlu menambah bayaran hingga 50 peratus daripada harga asal yang ditandatangani.
“Kami berasa tertipu kerana semua urusan pembelian sudah lama selesai, termasuk pinjaman dengan Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
“Hanya kerana berlaku masalah di pihak pemaju, kami pula yang terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.
Menurut Syamil lagi, harga asal ditawarkan adalah antara RM143,000 hingga RM198,000 dan dia membeli rumah pada harga RM159,000.
“Apa yang mengecewakan, saya telah dimaklumkan harga pembelian rumah saya adalah RM260,000.’’ Katanya.
Seorang pembeli, N. Ganesan, 27, berkata dia telahpun mengeluarkan kos kira-kira RM20,000 untuk membeli rumah itu dan kini merasa amat tertekan apabila diberitahu pihak pemaju harga rumah sudah meningkat.
Menurut Ganesan, beliau masih mahukan rumah itu mengikut harga asal yang sudah ditandatangani dan sanggup menunggu disiapkan walaupun lambat.
“Saya tidak bersetuju jika pemaju ingin menjualnya pada harga baharu … mereka perlu bayar segala kos yang saya belanjakan selama ini.’’ Katanya.
Seorang lagi pembeli, Norshazmil Mohd Noh, 27, juga memohon campur tangan segera Menteri Besar Perak untuk menyelesaikan masalah dialaminya bersama pembeli lain.
“Masalah ini sudah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dan kami juga akan menghantar surat rasmi berserta dokumen berkaitan kepada pihak Menteri Besar pada Selasa depan.
“Aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sudah dibuat dan kami dijangka bertemu pihak peguam pemaju pada Jumaat depan bagi mengetahui perkembangannya,” katanya.