KPDNHEP Sita Premis Guna Logo Halal Tamat Tempoh

Reading Time: < 1 minute

IPOH- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah menjalankan pemeriksaan di 93 premis restoran seluruh Perak sejak 11 Januari lalu, di samping berjaya mengesan dua premis yang menggunakan logo halal tamat tempoh.

Menurut Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan, premis yang beroperasi di sekitar Ipoh itu membabitkan sebuah restoran masakan India dan premis pembekal makanan sejuk beku.

“Pemeriksaan awal dan keterangan yang diberikan oleh wakil premis (restoran makanan India) itu menyatakan pernah memiliki Sijil Halal Malaysia hingga Disember 2017.

“Bagaimanapun pembaharuan tempoh Sijil Halal gagal diperoleh kerana pihak restoran tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak.

“Tujuh unit logo Halal dan 20 unit kad nama yang mempunyai logo Halal dan satu unit Sijil Halal premis tamat tempoh di premis itu telah disita,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, ujarnya dalam pemeriksaan berasingan di sebuah premis pembekal makanan sejuk beku mendapati premis itu menjalankan perniagaan pembungkusan semula ke atas daging kambing dengan mempamerkan logo Halal Malaysia.

“KPDNHEP telah menyita 115 kg plastik bungkusan yang mempunyai logo Halal Malaysia dan dua unit bungkusan daging kambing mempunyai logo Halal Malaysia.

“Pihak KPDNHEP memandang serius terhadap peniaga yang menggunakan perbahasan halal ke atas premis dan barang-barang makanan serta perkhidmatan keluaran mereka,”katanya lagi.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 (1) Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM 1 juta.

Katanya, pemeriksaan tidak tertumpu kepada restoran mamak sahaja namun merangkumi premis restoran lain seperti restoran makanan Thai, masakan melayu dan Kopitiam yang menggunakan perbahasan halal.