Bas Ekspres Kembali Ambil/Turun Penumpang Di Medan Gopeng

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Berita baik bagi para pengguna bas ekspres apabila pengurusan bangunan Silveritage membenarkan bas ekspres mengambil dan menurunkan penumpang di Medan Gopeng sejak 1 Ogos baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Ejen Penjual Tiket Bas Ekspres, Mohd Tarmizi Mohd Yusof, lebih 40 kaunter sementara jualan tiket bas ekspres akan beroperasi di sini bermula Ogos ini.

Namun begitu, katanya, tidak ramai penumpang bas yang tahu kerana kaunter kekal belum lagi siap.

Mohd Tarmizi menjelaskan keadaan ini berlaku kerana mereka (penjual tiket) yang sebelum ini beroperasi di Terminal Bas Amanjaya telah diarah berpindah keluar oleh pihak pengurusan terminal berkenaan berkuatkuasa 31 Julai lalu.

“Kami diarah berpindah oleh pengusaha terminal di sana sehinggalah mendapat kebenaran Menteri Besar Perak untuk beroperasi semula di Terminal Bas Medan Gopeng.

“Kami amat berterima kasih kepada Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu kerana membantu kami membuka kaunter jualan tiket disini,” kata Mohd Tarmizi kepada Independent.my pada Khamis.

Menurut beliau lagi, 40 kaunter kekal akan mula dibina minggu hadapan yang melibatkan semua destinasi termasuk perkhidmatan bas shuttle ke KLIA.

Mengikut pelan yang ditunjukkan kepada wartawan Independent, terdapat 40 kaunter tiket bas, empat kedai dan kiosk serbaneka, satu kaunter pertanyaan, dua surau bagi lelaki dan wanita serta tempat penumpang menunggu bas.

Menurut Tarmizi, pembukaan semula operasi penjualan tiket ini sebenarnya memberi kemudahan selesa kepada para pengguna khususnya di sekitar Medan Gopeng, Simpang Pulai dan Kampar.

Katanya, ini kerana mereka tidak perlu lagi pergi ke Terminal Amanjaya di Meru yang terletak agak jauh.

“Kalau sebelum ini hendak ke Meru mereka terpaksa membayar tambang teksi RM35 waktu siang manakala malam pula perlu membayar tambang RM40.” katanya.

Mengenai jadual perkhidmatan pula, Tarmizi menjelaskan perkhidmatan bas berjalan 24 jam.

“Kita menggunakan sistem baru dimana tidak ada lagi tiket bertulis tangan … semuanya menggunakan sistem baru bercetak.

“Di sini tidak ada parkir bas dimana bas akan mengambil dan menurunkan penumpang sahaja dalam tempoh masa 20 ke 25 minit dan akan terus bergerak ke destinasi.” jelasnya.

Terminal bas ekspres ini akan menjadi alternatif kepada terminal sedia ada di Meru di bahagian Utara kerana di sini akan menyediakan kemudahan untuk pengguna di bahagian Selatan.

Beliau berharap rakyat Perak akan mula menggunakan kemudahan perkhidmatan bas ekspres yang disediakan di terminal ini.

“Kami sudah dapat kelulusan dari MB (Menteri Besar) melalui PKNP cuma kaunter kekal masih belum siap,” katanya.

Beliau menambah bahawa mereka telah mendapat kebenaran dari APAD pada awal Ogos manakala PKNP telah memberi kebenaran bertulis sejak sebelum Hari Raya puasa yang lalu.

Menurutnya, kaunter tiket bas akan beroperasi 24 jam setiap hari dan bas akan menurun dan mengambil penumpang sahaja, tidak ada tempat parkir untuk bas disediakan. Penumpang hanya menunggu dalam masa seketika sehinggga 20 minit sebelum bas mereka sampai dan bergerak ke detinasi yang hendak dituju.

“Kami sekarang pakai sistem terbaru, tidak ada lagi ulat tiket seperti dahulu, tidak ada tiket yang ditulis tangan, semuanya bercetak, ” katanya.

Tarmizi berkata kebanyakan ejen jualan tiket bas ekspres yang diarah keluar dari Terminal
Amanjaya telah membuat kerja mereka sejak dari zaman stesen bas ekspres di Medan Kid lagi. Mereka mewarisi pekerjaan turun-temurun dari bapa mereka sejak puluhan tahun yang lalu. Itu merupakan punca utama mata pencarian mereka.