IPOH: Umat Islam di seluruh dunia perlu membetulkan imej dan tanggapan buruk tentang Islam bagi memastikan Islam sebagai “Rahmatan Lil’Alamin”.
Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Dato’ Azumu berkata, ini susulan tindakan segelintir pelampau agama itu yang mencetuskan amalan bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
“Sebagai pemimpin, pemikir dan ilmuan, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk membetulkan keadaan ini bagi memastikan Islam sebagai “Rahmatan Lil’Alamin”, agama dalam era dunia baharu,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari di Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) di Hotel Casuarina@Meru,Ipoh pada Selasa.
Persidangan itu yang disertai oleh ramai pemikir dan ilmuan seluruh dunia telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurut beliau, persoalan sebenar yang dibangkitkan ketika ini sama ada kita mempunyai pengaruh dalam mentransformasi masyarakat.
“Tetapi pengaruh apa yang kita ada? Kita berada di persidangan ini berbincang untuk meneroka jenis pengaruh yang ada serta penyelesaian untuk disumbangkan oleh masyarakat dan negara bagi masa depan dunia yang lebih baik,” katanya.
Menurut Ahmad Faizal, Islam telah menyebarkan keamanan di seluruh dunia, yang mempengaruhi pembentukan budaya, pendidikan, ekonomi, politik dan pentadbiran melangkaui wilayah negara Timur Tengah.
“Malaysia merupakan salah sebuah negara contoh, bagaimana majoriti umat Islam yang berjaya mengubah dari sebuah negara miskin kepada negara berpendapatan sederhana, selain mengiktiraf hak golongan bukan Islam mengikut “Rahmatan Lil’Alamin,” ujarnya.