Undi Percaya Dedah Siapa Duri Dalam Daging

Reading Time: < 1 minute

Dengan membuat undi percaya terhadap perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang parlimen 19 Disember ini, ia bukan saja dapat membuktikan keabsahan beliau sebagai perdana menteri yang mendapat mandat majoriti di kalangan ahli parlimen, malah ia bakal mendedahkan muka-muka yang menjadi duri dalam daging dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Memang dijangka setiap ahli parlimen pembangkang yang terdiri dari ahli Bersatu dan PAS tidak akan mengangkat tangan, pendirian beberapa ahli parlimen dari blok kerajan perpaduan seperti Hishamuddin Tun Hussein, Wee Ka Siong, Wee Jeck Seng, M. Saravanan belum dapat dijangka.

Mereka ini antara sepuluh ahli parlimen dari Barisan Nasional yang dikatakan menandatangani akuan berkanun (SD) menyatakan sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai perdana menteri sebelum ia ditarik balik dan didakwa sebagai ‘SD palsu’ oleh Hishamuddin.

Walau apa saja pendirian mereka, ia dikatakan masih tidak dapat mengatasi jumlah sokongan ahli parlimen yang cenderung kepada Anwar tambahan pula parti GPS dan GRS, masing-masing membawa jumlah 23 dan 6 ahli parlimen telah pun menyatakan dengan jelas pendirian mereka untuk menyokong kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar.

Pakatan Harapan memiliki 82, ditambah dengan BN 30, GPS dan GRS sebanyak 29 dan Warisan serta Bebas sebanyak 7 menjadikan jumlah keseluruhan 148. Jika situasi terburuk 10 orang dari BN tidak menyokong Anwar, jumlah yang diperolehi Anwar masih 138 jauh melebihi majoriti mudah.

Jika 10 ahli parlimen yang masih berkeras tidak mahu menyebelahi Anwar, bukan saja ia tidak memberi kesan terhadap keabsahan perdana menteri, mereka sebenarnya telah mendedahkan secara jelas pendirian mereka, malah mereka juga secara tidak sedar menzahirkan diri merekalah gunting dalam lipatan, duri dalam daging dalam kerajaan perpaduan dan nasib mereka selepas itu di dalam parti diperjudikan.

~ Admin