IPOH | ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari berkata, pihak tertentu sengaja menimbulkan isu video tular yang dikaitkan dengannya hari ini berikutan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan berlangsung esok.
“Saya tak tahu, saya tak tengok. Saya tak ada masa nak tengok, itu,” kata Dr Abdul Aziz yang juga Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak.
Beliau berkata, pihaknya menerima beberapa video tetapi hanya video dari sumber rasmi sahaja akan dilihat.
Menurutnya, jika video yang dimaksudkan berkaitan isu untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, ia sudah pun dijawab sebelum ini dan sengaja ditimbulkan pihak tertentu berikutan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akan berlangsung esok.
“Video-video yang dibuat oleh orang-orang tak rasmi, yang tak tahu siapa buat ini saya tak dengar pun. Jadi jangan tanya pasal ini. Cuma seingat saya benda ini dah lama Disember tahun lepas atau awal tahun ini. Jadi benda ini bukan barulah tapi benda yang dah diulas dan saya fikir tak perlu ulas lagi.
“Jadi saya berasa hairan setiap kali sidang DUN ada sahaja isu seperti ini timbul dan seolah-olah nak memprovok kami terutama DAP untuk melatah dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada perasmian Expo Antarabangsa Perak (PIEX) di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penularan video yang dimuat naik ke dalam Facebook memperlihatkan perbincangan seorang individu dipercayai bersama beberapa individu lain mengenai usaha untuk menjatuhkan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.
Hari ini satu video dikeluarkan di saluran Youtube Raja Petra bin Raja Kamarudin memaparkan perbualan individu yang dikenali sebagai Aziz Bari dengan beberapa individu lain yang tidak kelihatan bercakap tentang pelan pertukaran Menteri Besar Perak. Bagaimanapun, video tersebut dipercayai adalah video lama yang telah dijawab oleh beliau semasa sidang Dewan Negeri sebelum ini. Ia sengaja ditularkan kembali hari ini sebagai salah satu usaha melaga-lagakan pimpinan Pakatan Harapan negeri Perak.
Sebelum ini tular mengenai video perbualan tidak formal Menteri Besar Perak dengan beberapa individu mengatakan beliau keseorangan berjuang ‘melawan puak DAP’ yang cuba menjatuhkannya dalam mempertahankan agama Islam dan bangsa Melayu di Perak.
Semalam sebuah portal harian tempatan menyiarkan sebuah video rakaman amatur tiga individu yang tidak dikenali dengan dua daripadanya memakai baju berlogo Barisan Nasional mendakwa Menteri Besar Perak berkata kemungkinan DUN dan Parlimen di Perak akan keluar dari Pakatan Harapan. Namun tidak diketahui bagaimana video percakapan picisan sedemikian mendapat perhatian dan diberi nilai berita oleh pihak penyiar tersebut.