Ipoh – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah menegaskan mandat dan kepercayaan yang diberikan rakyat untuk menjadi ahli Dewan negeri merupakan suatu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipenuhi serta menuntut pengorbanan yang besar.
Menurut baginda, mereka perlu penuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan ikhlas, jujur, adil dan saksama berlandaskan perlembagaan berteraskan undang-undang.
“Jauhi sifat-sifat angkuh dan bongkak dengan tidak mengamalkan budaya yang menang-menang semua dan sebaliknya hendaklah bersifat adil mengagihkan peruntukan serta melaksanakan program pembangunan secara saksama tanpa prejudis, tanpa diskriminasi, tanpa penindasan kepada mana-mana pihak.
“Kerana setiap pengundi ialah mahkluk ilahi dan setiap inci bumi di negeri ini terletak di bawah naungan tahta pemerintahan Paduka Seri Sultan Perak.
“Oleh itu rakyat jangan dihukum untuk menanggung kesusahan, di sebaliknya dengan menjunjung semangat demokrasi, kepentingan dan kebajikan setiap rakyat jelata hendaklah berada di hati pemimpin dan senantiasa diutamakan,’’ titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahun Pertama Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan ke-15 pada Selasa.
Baginda dalam titahnya turut menegaskan peri pentingnya persefahaman dan hubungan yang harmoni antara kaum yang merupakan faktor penentu untuk menjamin suasana hidup bernegara dan bernegeri yang aman dan harmoni.
“Negara dan negeri yang warganya hidup dalam aman dan harmoni akan dapat menumpukan fikiran, tenaga dan usaha utuk menarik pelabur dan pelancong, meningkatkan pertumbuhan ekonomi, merancakkan pembangunan negeri serta melimpahkan kemakmuran kepada rakyat.
“Oleh demikian pandangan ekstrim berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemai rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan,’’ titah Nazrin.
Menurut baginda, tindakan tegas lagi segera perlu diambil untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum.
Sultan Nazrin turut menyentuh soal suasana ekonomi dunia yang tidak menentu dan situasi negara sedang menghadapi bebanan hutang yang tinggi.
Baginda bertitah, perbelanjaan negeri akan memberikan fokus kepada perkara-perkara yang menghasilkan manfaat langsung kepada rakyat di samping melaksanakan secara bersungguh-sungguh langkah berjimat cermat dan menghentikan perbelanjaan berunsur pembaziran.