Warga Net Lepaskan Kekecewaan di Media Sosial

Reading Time: < 1 minute

Warga net terutama pengguna aplikasi media sosial yang kecewa dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang baru membuat kempen hashtag #NotMyPm di laman Twitter sejak petang semalam.

Sejak pukul 8 pagi ini, sebanyak 37 ribu tweet menggunakan hashtag ini. Manakala hashtag #DaulatTuanku ditulis sebanyak lebih 17 ribu.

Seorang pengguna menulis “saya tidak mengundi untuk korup dan kleptokrat menjadi kerajaan. tolong buat perkara yang betul”. Seorang lagi menulis “selepas mengeluarkan ahli politik korup dari berkuasa pada PRU14, kita kembali ke asal. Bagaimanapun, rakyat akan menendang *** anda dari kuasa pada PRU15. Semoga berjaya.” Bagaimanapun, hashtag yang sama turut digunakan oleh warga Britain yang tidak suka terhadap perdana menteri mereka Boris Johnson.

Ada pengguna yang menyokong tindakan Yang DiPertuan Agong pula menggunakan hashtag #DaulatTuanku menulis “kami percaya, kami hormat dan bersama Tuanku. Terima kasih kerana membuat keputusan yang tepat demi kepentingan rakyat.”

Muhyiddin dinamakan sebagai perdana menteri ke-8 petang semalam selepas seminggu negara dalam krisis politik ekoran perletakan jawatan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad.

Mereka yang tidak berpuas hati dengan perkembangan terbaru itu telah mengadakan demonstrasi aman di Dataran Merdeka malam tadi.