Bekas Wartawan Subky Latif Meninggal Dunia

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) | Bekas wartawan kanan yang juga Pengerusi Veteran PAS, Subky Abdul Latif, 80, meninggal dunia di kediamannya di Taman Karak Utama, Gombak dekat sini pukul 11.05 pagi ini.

Berita pemergian Subky dikongsikan dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya hari ini dan disahkan oleh anak sulungnya, Dang Fatiha Subky.

“Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat dan orang-orang soleh. Amin,” menurut hantaran itu.

Ketika dihubungi Bernama, Dang Fatiha berkata, pada saat akhir hayat Allahyarham dikelilingi isteri, Naznah Taha dan lima anaknya.

“Allahyarham meninggal dunia akibat sakit myelodyplastic syndrome (MDS) pre-leukimia yang ada kaitan dengan darah,” katanya.

Menurut Dang Fatiha, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah selepas Zohor, dekat sini, untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini.