KM Sarawak Nafi Mahu Tukar Nama Negeri, Tuding Ke Arah PAS

Reading Time: < 1 minute

KUCHING | Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata bahawa kerajaan negeri tidak ada niat menggunakan nama ‘Darul Hana’ untuk menukar nama negeri itu menjadi Sarawak Darul Hana.

“Tidak ada usaha (oleh kerajaan negeri) untuk menggunakan istilah Sarawak Darul Hana.

“PAS sengaja mencipta isu tersebut kerana mereka tidak ada isu lain terhadap kerajaan negeri,” kata Abang Johari ketika diminta mengulas mengenai isu yang dimainkan oleh PAS dan mencetuskan bantahan di kalangan orang bukan Melayu di negeri ini serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

“Apa yang kita ada sekarang hanyalah Jambatan Darul Hana dan Kampung Darul Hana,” katanya selepas merasmikan ulang tahun ke-24 Majlis Perbandaran Padawan dan pelancaran mural di Kota Padawan di sini hari ini.

Abang Johari berkata untuk menukar nama negeri bukan perkara mudah kerana ia perlu melalui Dewan Undangan Negeri untuk mendapatkan kelulusan.

Lima badan bukan kerajaan tempatan (NGO) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap cadangan penggunaan ‘Darul Hana’ ketika menggambarkan Sarawak, dan mendakwa ia adalah usaha untuk mengubah identiti Sarawak dari sebuah negeri sekular menjadi satu negeri berdasarkan agama.

Dalam satu kenyataan bersama, Persatuan Dayak Think Tank, Kongres Nasional Dayak, Persatuan Iban Sarawak, Persatuan Balang Balai Nyabong dan Persatuan Dayak Iban Sarawak mahu PAS dan kumpulan lain segera berhenti menggunakan istilah ‘Sarawak Darul Hana’ kerana boleh menyinggung kaum dan agama lain di negeri ini.