Malaysia Tolak ‘Deal Of The Century’ Presiden Trump

Reading Time: < 1 minute
(Cartoon: Carlos Latuff)

PUTRAJAYA | Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan kenyataan telah memperhalusi cadangan perjanjian damai Israel Palestin yang digelar ‘Deal of the Century’ diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump pada 28 Jan 2020.

Kerajaan mendapati cadangan itu tidak boleh diterima dan Malaysia percaya Palestin mempunyai hak untuk menolak cadangan itu.

Menurut kenyataan itu, perjanjian itu berat sebelah, berpihak kepada Israel dan tidak adil kepada Palestin dan hanya akan meneruskan ketidakadilan yang telah lama mereka lalui.

Malaysia tetap dengan pendirian bahawa kewujudan negara Palestin yang merdeka melalui penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Timur Jerusalem sebagai pusat pentadbiran Palestin adalah satu-satunya penyelesaian yang terbaik terhadap konflik Israel-Palestin.

Malaysia akan terus menyokong usaha konkrit untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui rundingan melibatkan kedua-dua pihak, menurut kenyataan itu lagi.