Skop Majlis Belia Perak Diperluas, Buka Penyertaan Pertubuhan Belia Cina

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Skop dan fungsi Majlis Belia Negeri Perak akan diperluaskan bagi membuka ruang penyertaan persatuan dan pertubuhan belia Cina ke dalam majlis itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak YB Howard Lee Chuan How, langkah itu diambil untuk membolehkan suara belia keturunan Cina diketengah dalam proses pembuatan dasar pembangunan belia di negeri ini.

Katanya, sebagai langkah pertama bagi merealisasikan matlamat itu satu perjumpaan melibatkan 100 peserta mewakili 40 pertubuhan belia Cina akan diadakan di Hotel Tower Regency, Ipoh pada 23 Jun ini bermula jam 1 hingga 4.30 petang.

“Perjumpaan ini kita adakan bagi memulakan proses perundingan supaya suara anak muda belia Cina akan dimasukkan dalam proses pembuatan dasar pembangunan Belia Perak.

“Perjumpaan ini sebenarnya bukan menuntut layanan istimewa tetapi dalam usaha untuk mengisi kekosongan dari segi proses pembuatan dasar yang telah ditinggalkan oleh pentadbir dahulu.

“Bagi kami ia bukan satu layanan istimewa tetapi mahu kembalikan kedudukan… Sepatutnya sebagai anak Perak mereka mempunyai hak dan kedudukan yang sebelum ini tidak diiktirafkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perjumpaan dengan enam pertubuhan Dewan Himpunan Belia Cina di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.

This image requires alt text, but the alt text is currently blank. Either add alt text or mark the image as decorative.Howard Lee menjelaskan kurangnya penglibatan merupakan faktor kenapa suara-suara belia Cina tidak diketengahkan oleh pentadbir terdahulu dalam proses pembuatan dasar pembangunan belia negeri.

“Ada suara belia keturunan Cina tidak diketengah dalam proses pembuatan dasar… Sebenarnya memang kurang engagement ….Bila engagement tak ada bagaimana nak satu padukan masyarakat, macam mana nak ada solidariti,’’ katanya.

Menurut Howard, baru-baru ini beliau juga telah mengadakan perjumpaan dengan Pertubuhan Sukan kaum Sikh untuk mendengar rintihan dan pandangan mereka tentang perlunya langkah diambil kerajan bagi memantapkan penyatuan dalam masyarakat berbilang bangsa di negeri ini.

“Sudah tiba masanya kita rapatkan jurang antara sebahagian masyarakat dengan masyarakat lain yang selama ini tiada landasan berjumpa, bertemu dan bermuzakarah,’’ katanya.