Surat Terbuka kepada MB Perak

Reading Time: 2 minutes

Semoga warkah ini mendapati YAB Menteri Besar Perak dalam keadaan sehat wal afiat. Saya mendokan semoga Allah melindungi YAB dan seluruh rakyat Perak dari ancaman covid 19.

Tujuan saya mencoret warkah ini adalah untuk menyuarakan kebimbangan dan pada waktu yang sama meletakan HARAPAN kepada YAB agar Hutan Kayu Bakau di Perak dan di Kerian khususnya dapat diselamatkan dari pencerobohan dek ketamakan manusia.

Sidang Kemuncak G7 yang berlangsung 11-13 Jun di Carbis Bay UK meletakkan agenda besar dunia pasca covid adalah ancaman alam sekitar. Negara-negara G7 mewakili hampir setengah ekonomi dunia dan suku daripada kesan jejak karbon dunia merasakan tiba masanya komitmen dasar dan sumber untuk menghindari malapetaka alam sekitar yang bakal tiba. Kebimbangan terhadap fenomena kepanasan global yang meninggalkan impak kepada peningkatan paras laut dan kesan rumah hijau bakal mengancam dunia pada skala yang tidak dapat digambarkan.

Saya sekali lagi menyatakan sokongan kepada dasar Perak Bumi Lestari kerana sudah tiba masanya ancaman perubahan iklim dijadikan sebagai teras strategik menangani isu alam sekitar. Segala sumber dan pelaburan alam semulajadi oleh kerajaan negeri akan menyumbang kepada pulangan global bernilai US 40-50 trilion kepada ekonomi dunia dan kepada kesejahteraan rakyat.

Dasar Perak Bumi Lestari perlu ada komitmen untuk mengiktirafi sumbangan alam sekitar sebagai kayu pengukur kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya. Komitmen dana untuk langkah-langkah pemeliharaan ekonomi hijau perlu diperuntukkan antaranya insentif kepada sektor yang komited kepada dasar lestari.

YAB Menteri Besar,

Jika benar Perak Bumi Lestari, saya merayu bagi pihak Hutan Bakau Sungai Betul dan Bagan Tiang serta lain-lain Hutan Bakau yang suara mereka tidak didengari agar Hutan-hutan ini diselamatkan dari dicerobohi oleh ketamakan manusia yang tidak sedar tindakan mereka meletakkan rakyat sekitar dalam bahaya. Merujuk khusus kepada kes Sungai Betul dan Bagan Tiang, tindakan SADC menyalahi akta 172 yang dalam Rancangan Tempatan Daerah 2020 dan 2035 telahpun meletakkan kawasan tersebut sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar dan melabelkankannya sebagai HUTAN. Lagipun hasil udang tidak dinamakan sebagai produk akuakultur di daerah Kerian. Tamak dan menyalahi undang-undang adalah rumusan formula paling berkesan untuk mengundang malapetaka alam sekitar.

Saya akhiri warkah dari Hutan Bakau dengan firman Allah dalam surah Al Rum: 41;

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk mereka yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali insaf dan bertaubat”

Sekian, semoga mendapat perhatian.

Yb DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Pengerusi Pakatan Harapan Perak

14 Jun 2021