Pemuda PH Perak Jawab Tuduhan Armada Bersatu Perak

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Pemuda Pakatan Harapan Perak dalam satu kenyataan berkata mereka memandang serius kenyataan Ketua Armada Bersatu Perak yang mendakwa mereka dikhianati oleh Pakatan Harapan negeri Perak.

Dengan meletakkan punca dan faktor dikhianati sebagai sebab mereka tidak akan kembali kepada Pakatan Harapan (PH) adalah satu penipuan dan tidak bersandarkan fakta, menurut kenyataan balas yang dikeluarkan hari ini.

“Pengkhianatan sebenar adalah apabila Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersetuju keluar daripada PH dan membentuk kerajaan dengan menerima PAS dan Umno secara en-bloc.

“Dakwaan mengatakan pimpinan PH daripada PKR DAP dan AMANAH mendesak Tun meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri telah pun diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH dengan mengambil ketetapan bahawa semua keputusan transisi jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Tun dan ini dilafazkan sendiri oleh Tun dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.

“Keputusan PH mencalonkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas kerajaan PH terbubar dibuat selepas Tun tidak hadir dalam mesyuarat PH dan tiada sebarang maklum balas diberikan bagi membuat keputusan menamakan calon Perdana Menteri kepada istana. Ketetapan menamakan Tun semula sebagai Perdana Menteri dibuat selepas pihak istana memaklumkan tiada calon yang mendapat sokongan majoriti yang diperlukan dan selepas daripada itu Tun bersedia untuk berjumpa dengan pimpinan PH bagi mencapai satu keputusan bersama,” kenyataan itu dipetik.

Pemmuda PH Perak mengingatkan bahawa kegagalan Tun untuk menyertai PH dalam setiap perbincangan yang dibuat berpunca daripada tindakan sebahagian MPT yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat keputusan keluar daripada PH dan secara automatiknya kedudukan Tun sebagai Pengerusi PH turut gugur. Oleh sebab itu, mereka mempersoalkan siapa sebenarnya yang mengkhianati Tun walaupun Tun berpendirian mahu kekal bersama PH tetapi tidak diendahkan oleh Muhyiddin dan pimpinan Bersatu yang lain.

Berkenaan dakwaan ‘perancangan jahat’ mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak, mereka berkata DAP berulang kali menafikan ianya datang dari parti sebaliknya usaha terpencil oleh individu yang tidak disokong oleh wakil rakyat PH Perak.

Pemuda PH Perak juga merujuk kepada insiden semasa kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai di mana terdapat rakaman video mendedahkan bagaimana Dato’ Seri Ahmad Faizal secara jelas memburuk-burukkan parti rakan dalam PH malah ada disebutkan mengenai perancangan Bersatu yang dirahsiakan. Insiden ini berlaku pada November 2019, tiga bulan lebih awal sebelum “Langkah Sheraton”.

“Sebelum kerajaan PH Perak ini tumbang, Ahmad Faizal juga telah mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa ADUN daripada PH untuk menyatakan perancangan dan mengajak ADUN tersebut bersama beliau menubuhkan kerajaan baru bersama Umno dan Pas. Ini adalah satu bentuk pengkhianatan yang jelas membelakangkan mandat rakyat yang diberikan kepada PH. Armada Perak seharusnya bertanyakan hal ini kepada beliau untuk berlaku adil dalam membuat penilaian.

“Ahmad Faizal juga gagal mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan PH Perak untuk menyelesaikan masalah-masalah dalaman dan inilah antara punca kegagalan Ahmad Faizal dalam membendung sebarang krisis atau permasalahan yang berlaku di Perak. Malah tidak pernah berlaku sebarang perbincangan awal di dalam Majlis Pimpinan PH Perak berkaitan dasar, hala tuju, pelantikan dan perkara penting di dalam kerajaan, sebaliknya Ahmad Faizal menggunakan kuasanya dan pimpinan PH Perak tidak langsung memainkan isu tersebut untuk mencabar reputasinya.

“Walaupun kegagalan dapat dilihat ketara, pendirian PH Perak tetap menyokong penuh kepimpinan Ahmad Faizal meskipun terdapat banyak isu yang melibatkan kepimpinan dan pentadbiran beliau semasa bersama PH kerana keutamaan yang diberikan oleh pimpinan PH pada ketika itu adalah kestabilan,” menurut sebahagian kandungan dalam kenyataan panjang lebar itu.

Kenyataan itu ditandatangani bersama oleh:

KHAIROL NAJIB HASHIM
Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak

CHAW KAM FOON
Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Negeri Perak

MOHAMAD HAIRUL AMIR SABRI
Ketua Angkatan Muda KeAdilan (AMK) Negeri Perak