Armada Bersatu Perak Terus Sokong Kepimpinan Perdana Menteri, Dakwa PH Khianati Tun

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Armada Bersatu Perak menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang memimpin kerajaan Perikatan Nasional.

Armada Bersatu Perak juga menyokong sebarang usaha Perdana Menteri untuk meperkukuhkan kerajaan PN, menurut kenyataan yang diedarkan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Armada Bersatu Perak merujuk Pakatan Harapan yang didokongi PKR, DAP dan AMANAH sebagai pengkhianat kepada Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir Mohamad kerana menurutnya kebanyakan pemimpin ketiga-tiga parti itu tidak henti-henti mendesak Tun Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri ketika itu.

“Pakatan Harapan juga diperingkat awalnya mencalonkan Anwar bin Ibrahim selaku calon Perdana Menteri namun membuat ‘U Turn’ menyokong kembali Tun Dr Mahathir Mohamad setelah melihat sokongan terhadap Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri tidak mencukupi dan amat lemah.

“Antara bukti jelas pengkhianatan parti komponen Pakatan Harapan terhadap Bersatu ialah rakaman video seorang ADUN DAP Perak yang membuat rancangan jahat untuk menjatuhkan Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu selaku Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perak semasa Kerajaan Pakatan Harapan Perak memerintah.

“Justeru, Armada Bersatu Perak menolak sebarang usaha pihak tertentu untuk mengadakan kerjasama semula bersama Pakatan Harapan. Armada Bersatu Perak berikrar akan terus bekerja kuat untuk BERSATU dan Kerajaan Perikatan Nasional,” menurut kenyataan yang turut ditandatangani oleh Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh bersama 22 Ketua Armada Bersatu Bahagian dan 1 Naib Ketua Armada Bahagian negeri Perak.