IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan keputusan kerajaan Perak membeli kenderaan baharu untuk barisan Exconya merupakan keputusan tepat dan bukan untuk berbangga-bangga.
Katanya keputusan itu mengambil kira usia kenderaan yang memakan kos penyelenggaran besar buat kerajaan negeri.
“Untuk menjaga kewangan sebuah negeri bagi kereta yang berjalan sejauh empat ratus ribu kilometer, enjinnya dah mana rupanya dan tentunya mula banyak meragam.
“Kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih pada usaha untuk perbaiki kereta itu, apabila kita beli kereta baharu yang menjamin sehingga lima tahun dan menelan belanja lebih rendah,” katanya kepada pemberita di Ipoh, pada Rabu.
Tambahnya, kerajaan perlu menggunakan kenderaan baharu untuk memudahkan urusan perjalanan anggota Exco dalam melaksanakan tugas kepada rakyat.
“Kepada mereka yang tak dapat memandu kereta baru ini, saya mohon mereka kerja kuat simpan duit jangan makan rasuah.
“Saya yakin bahawa ini adalah keputusan yang tepat dibuat oleh pihak kerajaan dan bukan untuk berbangga-bangga dan sebagainya, kepada yang tak setuju terpulang pada mereka,” katanya.
Sebelum ini terdapat pihak tertentu yang melempar komentar sinis berhubung pembelian kenderaan baharu tersebut kononnya keputusan kerajaan itu cuba menunjuk-nunjuk.