Maszlee Gesa Peguam Negara Letak Jawatan

Reading Time: < 1 minute

Bekas menteri pendidikan, Dr. Maszlee Malik menggesa Peguam Negara Tommy Thomas meletak jawatan ekoran keputusan untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap 12 yang dikaitkan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Maszlee dalam satu kenyataan berkata tindakan itu tidak selaras dengan pendirian Putrajaya yang meletakkan kumpulan itu dalam senarai kumpulan pengganas.

“Saya minta Tommy mengikuti dasar kerajaan dan mengutamakan keselamatan negara atau beliau meletak jawatan sebagai peguam negara, “katanya.

Tommy dalam kenyataan 11 halaman mengatakan pertuduhan tidak diteruskan kerana 12 suspek hanya mempunyai gambar pemimpin LTTE yang dibunuh di dalam telefon atau akaun Facebook mereka.

Beliau juga berkata arahan Menteri Dalam Negeri yang mengisytiharkan kumpulan pengganas tidak bermaksud ia kekal dan harus dikaji semula setiap enam bulan untuk mengetahui sama ada masih terdapat alasan yang munasabah bagi mengekalkan perisytiharan tersebut.

LTTE telah dimansuhkan setelah dikalahkan oleh tentera Sri Lanka.