Perak rekod 30 kes demam Chikungunya tahun ini sehingga Rabu lepas

Reading Time: 2 minutes

IPOH, 12 Jan — Sebanyak 30 kes demam Chikungunya membabitkan 17 lokaliti dilaporkan di Perak pada tahun ini sehingga Rabu lepas, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ding Lay Ming.

Beliau berkata sebanyak 635 kes demam Chikungunya dilaporkan di Perak membabitkan 60 lokaliti wabak sepanjang tahun lepas bermula Februari.

Bagaimanapun, katanya sehingga kini tiada kematian dilaporkan berlaku disebabkan demam Chikungunya di lokaliti terbabit.

Katanya daripada 17 lokaliti tersebut enam adalah di daerah Batang Padang iaitu di Pekan Temoh, Pekan Tapah, Pekan Tapah Road, Kampung Baru Chenderiang, Kampung Baru Coldstream dan Taman Megah Bidor.

“Lima lokaliti di daerah Larut Matang dan Selama iaitu di Pokok Assam Zon 2, Taman Assamara, Taman Juta, Taman Lela dan Kampung Assam Kumbang, tiga lokaliti di daerah Kampar di KB Kopisan, Estet Hong Chan dan KB Malim Nawar dan tiga lokaliti di daerah Kuala Kangsar iaitu di Taman Tun Sambanthan A, Taman Tun Sambanthan B dan Taman Tun Sambanthan C,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Setakat ini, Dr Ding berkata tiada kes Chikungunya dilaporkan di Kampong Padang Asam dan Padang Rengas di Kuala Kangsar seperti yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

“Hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan di semua lokaliti wabak aktif di Negeri Perak mendapati punca utama kejadian demam Chikungunya adalah kerana indeks pembiakan aedes yang tinggi di lokaliti tersebut,” katanya.

Katanya antara tempat pembiakan nyamuk itu adalah di lot kosong terbiar, rumah kosong tidak berpenghuni, longkang tidak diselenggara dengan baik, tong tadahan air tidak bertutup di dalam dan di luar rumah.

Dr Ding berkata tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan 163 kompaun dan 67 notis pembersihan di bawah Seksyen 8 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dikeluarkan terhadap pemilik premis yang didapati terdapat pembiakan Aedes.

Beliau berkata pihaknya juga melaksanakan aktiviti larvaciding, Semburan Ruang Thermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) di semua lokaliti berwabak dan berpotensi wabak di Perak bagi membasmi vektor pembawa penyakit nyamuk Aedes.

Orang ramai dinasihat supaya sentiasa menjaga kebersihan di kawasan persekitaran masing-masing dan mengambil langkah pencegahan serta segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran sekiranya mengalami demam, katanya.

— BERNAMA